Powered By Blogger

Monday, 1 September 2014

Vandalisme

Isu ketiga yang ingin saya kupas ialah vandalisme. Vandalisme merujuk kepada perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Vandalisme juga dikenali sebagai pugut, pemugut atau laku musnah. Dari segi konteks sekolah pula vandalisme merupakan laku musnah yang berupa pelanggaran disiplin yang mana termasuklah merosakkan harta benda sekolah, menconteng meja, memecahkan cermin tingkap, menendang pintu tandas, mematah-matahkan pokok, bermain dengan alat pemadam api, mengotorkan kawasan sekolah, menconteng dinding bilik darjah, merosakkan harta benda guru dan guru besar dan mengguris kenderaan guru.
                   Faktor pertama yang menjurus kepada masalah ini ialah pengaruh rakan sebaya. Seperti yang diketahui umum, rakan sebaya mempu mencorakkan nilai-nilai sama ada positif atau negatif dalam diri remaja. Remaja yang gagal memilih rakan yang baik akan terikut dengan perilaku negatif rakan mereka dan salah satu daripada perilaku tersebut adalah kegiatan vandalisme. Secara kebiasaannya, remaja yang melakukan kegiatan vandalisme merupakan golongan remaja dalam kumpulan.Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul maka timbullah pelbagai idea negatif termasuklah menconteng dan merosakkan harta benda awam.
Keduanya ialah sikap apati ( tidak peduli), individualistik dan materialistik masyarakat. Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang bermasalah. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya golongan tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.
Jika diteliti dengan lebih mendalam lagi, masalah vandalisme ini telah memberi kesan kepada masyarakat mahupun negara kita. Ini akan menjurus kepada masyarakat yang akan menghadapi pelbagai masalah dalam urusan seharian. Contohnya, jika tandas awam dirosakkan, pasti orang ramai tidak dapat menggunakanya dengan baik dan mereka akan berasa kurang selesa. Jika telefon awam dirosakkan pula, ia akan menyusahkan orang ramai menghubungi pihak berkuasa apabila berlaku perkara buruk seperti kebakaran, kemalangan, jenayah dan sebagainya. Ini akan menyebabkan kualiti kemudahan asas dalam kehidupan seharian kita akan merosot.
Kepada negara pula,imej negara akan tercemar di mata dunia.Hal ini sudah tentu akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana pelancong luar tidak sudi untuk datang melancong ke negara kita akibat keadaan alam sekeliling yang buruk dan sikap rakyat yang tidak berprihatin.Kesannya,industri pelancongan akan merosot. Pada masa yang sama,hal ini akan memberikan kesan yang buruk kepada rakyat negara tersebut.Industri pelancongan menyumbang kepada sektor lain seperti perhotelan.Sektor perhotelan tidak akan mendapat sambutan handal akibat industri melancong yang merosot.Hal ini menyebabkan rakyat menganggur akibat kekurangan sektor pekerjaan .Yang seterusnya,pihak kerajaan akan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membaikpulihkan infrastruktur yang dimusnahkan.
                   Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastic dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini. Pertamanya ialah peranan ibu-bapa. Didikan agama dan nilai moral yang sempurna haruslah ditanam dalam jiwa anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka supaya menghargai harta benda awam yang terdapat baik di kawasan tempat tinggal mereka mahupun di tempat lain. Selain itu, mereka harus memantau aktiviti-aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak mereka dan mengetahui latar belakang rakan-rakan bagi anak-anak mereka. Sekiranya mereka mendapati anak-anak mereka terlibat dalam gejala vandalisme ini, tindakan sewajarnya harus dilakukan. Tindakan ini memang sesuai dengan kata orang-orang tua,“Sayangkan anak, tangan-tangankan”
                   Selain itu, kempen-kempen pencegahan jenayah juga boleh diadakan di setiap institusi pendidikan. Pelbagai kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutanya peringkat sekolah rendah.Hal ini demikian kerana pelajar pada tahun ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah seperti vandalisme. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah .Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah.

                   Pada pandangan saya, semua pihak perlu berganding bahu dan mengerah keringat untuk bersama-sama memerangi gejala vandalisme ini. Walaupun isu ini dilihat tidaklah terlalu teruk, tetapi ingatlah bahawa ia dapat memberi impak yang besar kepada negara. Sekiranya semua kemudahan awam kita tidak boleh digunakan atau diconteng, maka di manakah kita hendak meletakkan air muka kita. Imej negara yang bersih hanya akan tinggal kenangan sahaja. Oleh itu kita perlulah bertindak segera untuk ‘memerangi’ gejala ini dan ingatlah , ‘jangan sudah terhantuk barulah nak terngadah.

No comments:

Post a Comment