Powered By Blogger

Monday, 1 September 2014

Penyalahgunaan Dadah

Isu keempat yang ingin saya ketengahkan ialah isu penyalahgunaan dadah. Gejala ini melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah secara berlebihan . Kebiasaanya penggunaan dadah secara berlebihan ini akan mendatangkan perasaan gembira yang tidak terhingga dan ketagihan dadah ini juga bertujuan melarikan diri daripada kenyataan. Penyalahgunaan dadah juga akan menyebabkan kehidupan seharian setiap individu terganggu .Penagih dadah lebih cenderung menggunakan dadah secara berterusan walaupun berlaku masalah dalam diri atau masyarakat dan sering terlibat dengan masalah perundangan serta meletakkan diri mereka dalam situasi yang berbahaya .
                   Dengan pengendalian beberapa kajian, beberapa punca telah dikenal pasti menunjangi permasalahan ini. Pertama ialah sebagai remaja, mereka sememangnya terikat dengan naluri ingin mencuba sesuatu yang baru. Mereka ingin menunjukkan sifat kelelakian serta kematangan mereka. Oleh itu, dengan hanya menghisap sebatang rokok yang menjadi punca utama kepada penagihan dadah,mereka berasa sudah matang dan cukup dewasa. Semua jenis dadah mengandungi bahan kimia yang mengkhayalkan dan berbahaya. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan,rakyat Malaysia yang terjerumus ke dalam kancah penyalahgunaan dadah kerana perasaan ingin tahu adalah 28.49 peratus.Penagih dadah sememangnya tidak berfikir panjang untuk mengambil dadah. Mereka hanya mahukan kepuasan sehingga sanggup mencuri,membunuh serta melakukan segala perkara yang boleh membantu mereka mendapatkan dadah.
                   Sikap masyarakat juga menjadi penyebab kepada berlakunya masalah penagihan dadah. Terdapat golongan masyarakat yang mengambil mudah masalah penagihan dadah kerana mereka berpendapat bahawa keluarga mereka tidak terlibat dengan masalah tersebut. Ada juga sesetengah masyarakat beranggapan bahawa tanggungjawab membanteras penagihan dadah adalah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Sikap individualistik di kalangan masyarakat inilah yang menyebabkan masalah penagihan dadah semakin bertambah.
                   Masalah dadah ini juga memberikan impak yang agak membimbangkan kepada masyarakat .Penagih dadah akan mempunyai potesi untuk mengancam ketenteraman awam dengan kejadian jenayah seperti rompakan & samun. Dengan ini, perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh terjejas akibat penglibatan remaja dan belia
dengan dadah. Fakta di atas juga akan menjurus kepada penimbulkan perselisihan dan persengketaan antara satu keluarga dengan keluarga yang lain. Selain itu, ketagihan dadah yang melampau akan melemahkan keimanan dan kecenderungan terhadap agama. Dengan ini, tiang agama yang teguh berdiri akan akhirnya mula terhakis sedikit demi sedikit.
                   Gejala dadah juga membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. Badan-badan bukan kerajaan yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional. 
                    Dalam usaha untuk membendung masalah yang semakin gawat ini, ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan anak-anak mereka tidak turut terjebak dalam masalah ini. Mereka perlu meluangkan masa secukupnya untuk bersama anak-anak. Sikap ambil berat dan bertanggungjawab serta penyayang ini mampu mengelakkan remaja dari terjerumus ke dalam masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun yang tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak ke perangkap penyalahgunaan dadah. Anak-anak hendaklah diberikan pendidikan agama secukupnya serta diawasi setiap pergerakan dan pergaulan mereka sejak dari kecil lagi. Sesungguhnya pembentukan sahsiah remaja banyak ditentukan oleh institusi kekeluargaan.
                   Di samping itu, sikap menerima dengan terbuka serta kesungguhan dan kerjasama masyarakat dalam pembanterasan penyalahgunaan dadah adalah kunci utama yang perlu dititikberatkan bagi menangani masalah sosial di kalangan belia dan remaja yang kian meruncing. Seorang penagih dadah mengalami perasaan syak-wasangka terhadap semua rakan dan keluarga serta berasa terasing dan tidak selesa berdampingan dengan mereka. Merek lebih suka bergaul dengan penagih-penagih lain dan akhirnya terlibat semula dengan penagihan dadah. Dalam konteks ini masyarakat luar perlu memainkan peranannya untuk memberi sokongan kepada penagih agar memberhentikan tabiat buruk mereka.

                   Daripada kaca mata saya, saya berpendapat bahawa selain daripada cara-cara yang saya senaraikan di atas, pendekatan yang lebih strategik, menyeluruh dan bersepadu perlu diambil dalam memerangi dadah. Semua agensi, badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita.

No comments:

Post a Comment