Powered By Blogger

Monday 1 September 2014

Ponteng Sekolah

Isu kedua ialah isu ponteng sekolah yang semakin berleluasa kini. Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah.
        Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah mereka kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah. Pelajar kurang berminat kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana  bimbang ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.
Punca kedua masalah ini ialah pengaruh rakan sebaya. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah.
Isu ini ternyata memberi banyak kesan kepada masyakat mahupun negara. Antaranya ialah tabiat ponteng sekolah dikalangan pelajar dapat menyumbang kepada peningkatan statistik jenayah di Malaysia. Sememangnya kita sudah sedia maklum, darah muda remaja yang kian membuak-buak yang sememangnya sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Pelajar yang sering mengamalkan tabiat ponteng sekolah sering melakukan tabiat yang negatif. Tambahan pula, siasatan yang dilakukan oleh krew-krew rancangan 999, ramai pelajar yang ponteng sekolah membuang masa yang begitu berharga di pusat membeli belah pada waktu sekolah semata-mata untuk melepak. Sikap remaja masa kini diibaratkan seperti kera mendapat bunga.
Selain itu, masalah ini juga memberikan impak negatif terhadap imej negara. Elemen ini dapat dibuktikan kesahihannya apabila para pelajar yang bermuka tembok memampangkan diri mereka dihadapan para pelancong. Kesannya, para pelancong akan merasa terganggu dan sudah terang lagi bersuluh, mereka pasti beranggapan modal insan negara kita telah hilang budaya ketimuran. Tambahan lagi, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, terdapat ramai pelancong yang kurang senang dengan gelagat golongan remaja yang melepak di kawasan membeli belah, dan terdapat juga pelancong yang mengadu mereka diganggu dan sering menerima kata-kata kesat daripada golongan pelajar yang ponteng sekolah.
Untuk menangani isu ini, kita perlulah memainkan peranan masing-masing. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah memberi kesedaran kepada pelajar tentang keburukan ponteng sekolah. Pada masa yang sama, pelajar juga mesti diberikan kesedaran tentang kepentingan datang ke sekolah dan menjadi pelajar yang cemerlang. Selain itu, pelajar juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa yang banyak berjasa kepada mereka.Program-program kesedaran tentang tanggungjawab pelajar boleh dibuat oleh pihak sekolah dan Persatuan lbu Bapa dan Guru (PIBG). Jika pelajar mempunyai kesedaran mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap diri, keluarga dan negara, pasti pelajar tidak akan ponteng sekolah lagi.
Di samping itu, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memerhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak. 

Dalam pendapat saya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan kerana generasi muda hari ini ialah pemimpin masa depan.

No comments:

Post a Comment